::Eaton Lebur Rekod Dunia::
Monday, 12 March 2012 | 12:16 | 0 comments
ISTANBUL: Pemegang rekod dunia acara heptatlon lelaki, Ashton Eaton dan pelari pecut Justin Gatlin membolehkan Amerika Syarikat mengungguli senarai pungutan pingat pada hari kedua Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia, kelmarin.
Eaton memadamkan rekod dunia dalam dewan miliknya dan Gatlin mengungguli acara 60 meter selain rakan sepasukan Sanya Richards-Ross (400m) dan Chaunte Lowe (lompat tinggi) turut menghadiahkan pingat emas kepada AS sekali gus membolehkan negara itu mendahului senarai kedudukan pingat.
Eaton mengumpul 6,645 mata daripada enam acara di Atakoy Arena mengatasi rekod lama miliknya, 6,568 mata yang dilakukan pada kejohanan antarabangsa dalam dewan Tallinn, Februari tahun lalu.
“Saya berasa cukup bagus,” kata Eaton mengulas mengenai catatan 100m (6.79 saat), lompat jauh (8.16m), lontar peluru (14.56m), lompat tinggi (2.03m), 60m lari berpagar (7.68sec), lompat bergalah (5.20m) dan 1,000m (2:32.77).
“Apabila hadir menyertai kejohanan ini, saya tahu saya mampu memecahkan rekod dunia. Pertandingan ini amat mantap, semuanya bagus dan saya tidak berdepan acara yang teruk.” Gatlin memulakan langkah kanan selepas menjalani penggantungan empat tahun dengan memenangi acara 60m.
Pemenang pingat emas dalam acara 100m di Olimpik Athens pada 2004 dan juara dunia dalam dewan itu memulakan larian pantas di Atakoy Arena untuk merekod catatan masa 6.46s.
Pakar lari berganti-ganti Jamaica, Nesta Carter merangkul perak sementara juara bertahan Dwain Chambers dari Britain, meraih pingat gangsa.
“Saya datang ke sini untuk mendominasi dan mahu meneruskan penguasaan. Saya mahu memastikan sebaik pistol berbunyi saya terus berlari untuk menang,” katanya. - AFP
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..kejohanan dunia.., ..olahraga..