::Rekod Dunia 4x100m::
Monday, 5 September 2011 | 21:25 | 0 comments
DAEGU: Raja pecut Usain Bolt menceriakan kemuncak Kejohanan Olahraga Dunia malam tadi apabila mengemudi kuartet Jamaica memecah rekod dunia acara 4x100 meter lelaki pada hari terakhir saingan di Daegu.Ia adalah emas kedua Bolt pada kejohanan kali ini selepas memenangi mahkota 200m kelmarin dan menamatkan penyudah diinginkan pelari pecut itu, yang kecewa apabila impiannya memenangi acara 100m terkubur kerana kesilapan di permulaan.
Pasukan Jamaica terdiri daripada Nesta Carter, Michael Frater, Yohan Blake dan Bolt terlalu unggul buat lawan mereka dan Bolt meluru melepasi garisan penamat dengan catatan 37.04 saat dengan Perancis merangkul pingat perak manakala St Kitts and Nevis gangsa.
Amerika Syarikat gagal menamatkan perlumbaan selepas Darvis Patton terjatuh di trek dan tidak dapat menghulurkan baton kepada Walter Dix yang menjadi pelari utama.
Bolt yang gembira menari di trek dan berpura-pura menanggalkan jersi di depan penonton, hanya sehari selepas dia memukau penonton dengan catatan keempat terpantas 200m sepanjang zaman ketika dia bangkit daripada kekecewaan acara 100m.
Ia juga satu-satunya rekod dunia dicatat pada kejohanan edisi ke-13 itu. Mereka memecahkan rekod milik sendiri 37.10s dilakar ketika memenangi emas di Sukan Olimpik Beijing 2008.
Labels: ..kejohanan dunia.., ..olahraga..