::Tumpu Liga S::
Tuesday, 10 July 2012 | 08:07 | 0 comments
“SAYA anggap kes ini sudah ditutup dan tiada guna kita bercakap mengenai bantahan itu lagi. Saya mahu semua pemain lupakan kekecewaan dan kembali fokus kepada misi kita yang belum selesai.”
Itu penjelasan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang tidak mahu lagi memikirkan soal bantahan ke atas Myanmar yang menurunkan pemain lebih umur ketika Kejohanan Kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun 2013 selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan tidak mahu membuat bantahan susulan berhubung kes itu kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Katanya semua pemain harus menerima hakikat kegagalan meraih slot beraksi ke pusingan akhir selepas sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan G pada kempen kelayakan.
“Saya tahu semua orang kecewa dengan kegagalan ini tapi kita tidak boleh berhenti begitu saja. Pasukan ini akan meneruskan baki 12 perlawanan dalam Liga Singapura (Liga-S) dan saya mahu mereka bangkit pada perlawanan pertama menentang Tanjung Pagar, Jumaat ini,” katanya yang memulakan latihan pusat di Wisma FAM Kelana Jaya semalam.
Ketika ini Harimau Muda A menduduki tangga keenam liga dengan mengumpul 23 mata selepas 12 perlawanan. Tempat teratas liga kini dikongsi Brunei DPMM dan Tampines Rovers dengan 29 mata, namun sudah beraksi sebanyak 14 perlawanan.
Bagaimanapun tugas Kim Swee tambah mencabar apabila beliau terpaksa melupakan khidmat pemain perancang, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang sudah menyertai kelab Portugal, SC Beira-Mar manakala pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria akan menjalani ujian percubaan dengan kelab Divisyen 3 Jepun, Ryukyu FC, selama dua minggu, bermula Khamis ini.
“Saya harap Wan Zack dan Kecik (Wan Zaharulnizam) menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya kerana ia bukan datang selalu. Kelab Ryukyu tahu mengenai kemampuan kedua-dua pemain ini dan mereka perlu membuktikannya di sana nanti,” katanya.
Bagi mengisi kekosongan itu Kim Swee sudah mendaftar pemain berusia 16 tahun, Muhammad Ariff Farhan Md Isa dan Mohd Raphi Azizan namun kedua-dua pemain ini masih mempunyai jadual ketat sebagai pelajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).
Selain tumpuan kepada Liga-S, Harimau Muda A juga bakal membawa cabaran negara di kejohanan jemputan Piala Java di Jakarta yang membabitkan pasukan tuan rumah Indonesia, kelab Liga Perdana Inggeris, Everton dan kelab Turki, Galatasaray dari 26 hingga 29 Julai ini.
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..bola sepak..