::Terengganu lakar kejayaan gemilang::
Tuesday, 17 July 2012 | 13:56 | 0 comments
KEJAYAAN berganda buat Terengganu apabila mereka bukan saja berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut malah atlet negeri itu turut melakar catatan emas terbanyak pada temasya yang dilangsungkan di luar bumi Darul Iman.
Jumlah 62 emas yang dikutip di Pahang berjaya membuatkan Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail tersenyum lebar kerana ketika temasya serupa dilangsungkan di halaman sendiri empat tahun lalu, mereka turut bergelar juara dengan 61 emas.
“Kami mensasarkan untuk mengutip 47 emas kerana sedar bukan mudah untuk menang banyak emas di tempat orang tetapi kesungguhan atlet kami yang berlatih sejak tahun lalu, membuahkan hasil yang cukup cemerlang.
“Kami perlu berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta semua pihak berkaitan kerana usaha mereka membolehkan atlet kami mencapai kejayaan besar ini.
“Kejayaan ini adalah untuk semua rakyat Terengganu dan ia seharusnya menjadikan atlet lebih bersemangat untuk mencipta kejayaan gemilang pada Sukma akan datang,” katanya.
Pencapaian terbaik Terengganu ialah menerusi acara basikal apabila membawa pulang 12 emas, diikuti memanah (sembilan emas) dan olahraga (lapan emas).
Menurutnya, kegagalan beberapa pasukan untuk menyumbang emas seharusnya tidak menjejaskan semangat atlet kerana faktor itu harus dijadikan pemangkin untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang,” katanya.
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..sukma..