::Syarikat Gergasi Tak Menyumbang::
Thursday, 19 July 2012 | 20:50 | 0 comments
SELAIN ganjaran RM1 juta yang bakal diterima pemain Harimau Malaya yang diberikan Telekom Malaysia seandainya berjaya mempertahan Piala AFF penghujung bulan ini, tiada syarikat gergasi tempatan lain yang tampil menjanjikan imbuhan tambahan bagi melonjakkan lagi semangat anak-anak buah ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal.
Perkembangan terbabit menyebabkan Naib Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal merasa terkilan walaupun Malaysia mempunyai syarikat gergasi yang banyak dan mampu berbuat demikian.
“Setakat ini, ganjaran RM1 juta akan diberikan Telekom Malaysia jika skuad negara berjaya mempertahankan Piala AFF. Kita mempunyai syarikat gergasi yang banyak namun lebih berminat membuat pelaburan di luar negara seperti membeli kelab tertentu dan sebagainya.
“Bukan saja memberikan imbuhan kepada skuad negara, saya sangat berharap mereka mampu menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara. Tidak boleh mengharapkan kepada kami (FAM) saja, semua pihak perlu memainkan peranan. “Mereka turut mendapat keuntungan apabila berbuat demikian (pengecualian cukai),” katanya yang turut bersedia menjadi orang tengah bagi merealisasikan perkara itu.
Skuad negara yang menjulang kejuaraan Piala AFF buat kali pertama dua tahun lalu diundi bersama naib juara Indonesia, Singapura serta pasukan tempatan kedua pusingan kelayakan untuk merebut dua tempat teratas Kumpulan B bagi mara ke separuh akhir manakala Thailand mengetuai Kumpulan A bersama-sama Vietnam, Filipina serta juara pusingan kelayakan.
Saingan merebut piala keagungan rantau Asia Tenggara itu akan berlangsung pada November dan Disember ini dengan Malaysia dan Thailand bertindak sebagai tuan rumah bersama.
Menyentuh mengenai persiapan skuad negara yang baru beberapa hari menjalani latihan pusat, Subahan yang juga pengurus pasukan berkata segala-galanya berjalan lancar dengan latihan di Austria atau Hungary pada awal bulan depan akan memberikan pendedahan yang berbeza kepada anak-anak buah Rajagobal dalam menghadapi Piala AFF.
Skuad negara dijadualkan menentang dua kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Manchester City penghujung bulan ini.
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..bola sepak..