:: Spain Menang Euro 2012::
Thursday, 5 July 2012 | 08:02 | 0 comments
UKRAINE: Jurulatih Vicente del Bosque memuji skuad Sepanyol yang dianggap sebagai ‘generasi bola sepak hebat’ selepas mereka melakar kemenangan bersejarah ke atas Itali di final Euro 2012.
Kemenangan 4-0 La Roja di Kiev menjadikan mereka pasukan pertama memenangi tiga kejohanan utama berturut-turut di pentas antarabangsa.
“Kami berbicara mengenai generasi bola sepak hebat,” kata Del Bosque.
“Mereka tahu bagaimana untuk bermain dalam satu pasukan kerana mereka datang dari negara yang mempelajari bola sepak dengan betul. Ini adalah era hebat bola sepak Sepanyol.” Pengendali berusia 61 tahun itu berkata: “Kami memiliki beberapa pemain hebat yang beraksi di luar yang sebelum ini amat sukar. Kami tidak mempunyai ramai pemain bermain di luar tapi sekarang banyak kelab luar mahu pemain-pemain kami.
“Untuk menjuarai tiga kejuaraan adalah sesuatu yang agak mustahil. Tahniah kepada semua pemain.“Memang benar kami bernasib baik kerana dapat bermain dengan baik. Semuanya menjadi buat kami. Ia prestasi luar biasa menentang lawan yang sukar.
“Kami bermain dengan cara kami sendiri. Kami tidak terpengaruh dengan faktor luaran kerana kami percaya dengan apa yang kami lakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya tidak mahu menjadi jurulatih yang menang tapi jurulatih yang mendidik pemain. Saya mahu terus membentuk mereka menjadi pemain lebih baik.” Sepanyol mempamerkan aksi terbaik dengan gol David Silva, Jordi Alba, Fernando Torres - yang menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam dua final Euro serta Juan Mata bagi mengatasi Itali dengan kemenangan terbesar dalam final Euro.Mereka juga berjaya mengekalkan mahkota kejuaraan yang dimenangi di Vienna empat tahun lalu.
Antara dua kejuaraan ini, La Roja juga turut memenangi kejuaraan pertama Piala Dunia di Afrika Selatan dan kini mula dijulang sebagai pasukan terbaik dalam sejarah.Kemenangan semalam juga menjawab kritikan yang dilemparkan kepada Sepanyol yang dikatakan mengetepikan prinsip serangan dalam permainan bola sepak dan mempamerkan permainan membosankan.
Andres Iniesta dianugerahkan sebagai pemain terbaik perlawanan dan antara empat pemain selain Casillas, Sergio Ramos dan Xavi yang beraksi dalam kesebelasan utama di ketiga-tiga final kejohanan utama sebelum ini.
“Saya gembira kerana menerima trofi pemain terbaik kejohanan tapi saya lebih gembira kerana Sepanyol menjadi juara,” kata pemain tengah Barcelona itu.
“Pasukan ini mempamerkan permainan hebat dan kesemua pemain berada di tahap terbaik.” Pemain pertahanan tengah, Gerard Pique menambah: “Ia perasaan yang sangat istimewa. Kami gembira dengan kejayaan ini. Pasukan ini mencipta sejarah tapi kami harus terus berusaha.
“Kami akan bertanding di Piala Dunia dua tahun lagi. Kami akan meraikan kejayaan ini dan kemudian membuat persiapan rapi.” - Agensi
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..bola sepak..