::Lee Chong Wei Tetap No 1::
Monday, 6 August 2012 | 17:07 | 0 comments
WEMBLEY Arena masih lagi menghadirkan igauan buruk buat Lee Chong Wei yang terpaksa mengakui hakikat dia tetap kedua terbaik kepada Lin Dan.
Selepas tewas di Kejohanan Dunia tahun lalu di gelanggang sama, kekalahan 21-15, 10-21, 19-21 di final perseorangan lelaki Olimpik itu bagaikan ulangan skrip buat Chong Wei apabila tewas buat kali kedua berturut-turut selepas Beijing empat tahun lalu.
Kekalahan itu juga bermakna Chong Wei tidak berpeluang menebusnya kerana dia dan Lin Dan menjadikan London sebagai Olimpik terakhir mereka.
Lebih malang, turut sama terkubur adalah impian jutaan rakyat Malaysia yang mahu menyaksikan sejarah tercipta.
“Saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal memberikan mereka emas. Saya tahu ramai yang kecewa tapi saya sudah cuba sebaik mungkin. Saya tidak kesal dengan kekalahan ini, mungkin memang ditakdirkan saya hanya boleh menang perak kerana Lin Dan memang terlalu handal.
“Dalam dunia ini hanya satu Lin Dan dan Lin Dan itulah yang mengalahkan saya. Tapi saya gembira kerana Lin Dan membuatkan saya bekerja keras untuk sampai ke peringkat ini dan saya percaya dia juga gembira kerana saya membuatkannya bekerja keras untuk emas,” katanya.
Chong Wei yang turun untuk mengejutkan Lin Dan menampilkan corak permainan meyakinkan pada set pertama apabila mendahului 11-8 pada pertengahan permainan sebelum menamatkannya dengan 21-15.
Set kedua jelas menjadi milik Lin Dan apabila Chong Wei yang ketinggalan jauh 8-15 pada suatu ketika bagaikan membiarkan pemain China itu menang mudah bagi membolehkannya menumpukan tenaga terhadap set ketiga.Set penentuan itu berlangsung sengit apabila mereka saling terikat mata hingga kedudukan 18-18 dan 19-19 sebelum Lin Dan terlebih dulu mencapai mata 20 dan kemudiannya menang 21-19.
Lin Dan memuji persembahan Chong Wei apabila berkata pemain negara itu bermain dengan bijak sepanjang perlawanan untuk memberikan tekanan kepadanya.
“Saya tidak mengambil serius set pertama tapi selepas tewas saya meningkatkan persembahan di set kedua dan mencapai keputusan yang saya mahukan di set ketiga,” katanya yang berlari mengelilingi gelanggang sebaik menewaskan Chong Wei.
Kemenangan Lin Dan itu bermakna Malaysia masih lagi tercari-cari pingat emas yang gagal digenggam sejak temasya Melbourne 1956.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/05
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..badminton.., ..olimpik..
::4 beregu wanita disingkir::
Thursday, 2 August 2012 | 18:09 | 0 comments
Gandingan China, Korea, Indonesia didakwa 'main untuk kalah’
London: Lapan pemain badminton beregu wanita dibatalkan penyertaan mereka dalam Olimpik London semalam selepas sengaja ‘bermain untuk kalah’ dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mendapat undian lebih mudah di suku akhir. Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan keputusan itu selepas menyiasat pasangan China, dua beregu dari Korea Selatan serta satu pasangan Indonesia. Mereka didakwa kerana “tidak berusaha dengan kemampuan sebenar untuk memenangi perlawanan” dan “mencemari nama baik sukan” dalam perlawanan masing-masing kelmarin.
Jika anda kehilangan bahagian persaingan itu, semua akan menjadi mengarut". - Craig Reedie, Timbalan Presiden IOC
Ketua Kontinjen Olimpik Indonesia, Erick Thohir berkata pasukannya akan membuat rayuan. BWF memberitahu Korea Selatan juga sudah mengemukakan rayuan.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama empat beregu berkenaan akan kekal beraksi dalam kelompok suku akhir atau pertandingan akan terus bersambung di peringkat separuh akhir.
Timbalan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Craig Reedie yang pernah menerajui badan induk badminton antarabangsa itu, mengalu-alukan keputusan berkenaan.
“Sukan adalah persaingan,” kata Reedie. “Jika anda kehilangan bahagian persaingan itu, semua akan menjadi mengarut. Anda tidak boleh membiarkan pemain merosakkan kejohanan dengan cara begitu, dan tidak mengambil tindakan keras. Jadi bagus untuk mereka.”
Lapan pemain yang dihukum ialah juara dunia, Wang Xiaoli dan Yu Yang, lawan mereka dari Korea Selatan, Jung Kyun-eun dan Kim Ha-na, serta Ha Jung-eun dan Kim Min-jung, serta pasangan Indonesia, Meiliana Jauhari dan Greysia Polii.
Pasangan terbabit bagaimanapun menyalahkan format baru pertandingan di mana sebelum ini ia dijalankan secara kalah mati tetapi pada temasya kali ini BWF menukar kepada sistem kumpulan. - AP
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..badminton.., ..olimpik..
.:Perenang 15 tahun Lithuania rangkul emas 100m kuak dada:.
Tuesday, 31 July 2012 | 08:18 | 0 comments
LONDON: Perenang berusia 15 tahun, Ruta Meilutyte dari Lithuania membuat kejutan apabila merangkul pingat emas acara 100 meter kuak dada Sukan Olimpik.
Meilutyte mencatat masa 1 minit, 5.47 saat untuk mengetepikan asakan juara dunia, Rebecca Soni dari Amerika Syarikat pada saat akhir yang terpaksa akur dengan catatan 1:05.55.
Perenang Jepun, Satomi Suzuki pula menamatkan saingan untuk meraih gangsa dengan 1:06.46 saat manakala juara bertahan, Leisel Jones dari Australia di tempat kelima. - AP
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..olimpik.., ..renang..
::Moshbash Menang Piala Ketua Menteri::
Monday, 23 July 2012 | 12:16 | 0 comments
AKSI menarik dipersembahkan skuad Moshbash dari Masjid Tanah untuk muncul juara Kejohanan Streetsoccer Piala Ketua Menteri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) ,Ayer Keroh baru-baru ini.
Mereka menang tipis 1-0 ke atas FBT FC dari Merlimau di pentas final sekaligus membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala naib juara R750 berserta piala dan hadiah iringan.
Tempat ketiga milik pasukan Arena FM selepas mengatasi Sempang 3B, 2-1 bagi membolehkan masing-masing meraih RM500 dan RM250 serta hadiah iringan.
Penyampaian hadiah disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Mohamad, manakala perasmian oleh Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Hadir sama pengarah Sahabat Belia Negeri Melaka, Mohd Nizam Omar dan Timbalan Pengarah Perbadanan Stadium Melaka (PSM), Mohd Saufi Jaafar.
Kejohanan anjuran kerajaan negeri, Sahabat Belia, PSM dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya membabitkan 189 perlawanan dengan penyertaan 98 pasukan.
Mohd Ali dalam ucapannya berkata, program sedemikian mendedahkan generasi muda kepada aktiviti sihat dan cergas secara langsung mengelakkan mereka terbabit dengan gejala tidak bermoral.
Baginya, streetsoccer menyerlahkan kemahiran pemain terutama dalam mengelak kecederaan berikutan aksi di jalanraya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..bola sepak..
::Perlis A Buktikan Kewibawaan::
| 12:15 | 0 comments
PASUKAN Perlis A yang turut diperkuatkan empat pemain kebangsaan bawah 10 tahun membuktikan kewibaan apabila menjuarai Pertandingan Bola Sepak Jemputan Lapan Sebelah Bawah 10 tahun Piala Datuk Radzi Tan Seri Sheikh Ahmad 2012, baru-baru ini.
Kejuaraan sulung dan bersejarah itu diraih selepas berjaya mengetepikan cabaran pasukan dari Jitra Kedah, Kenari Kids Kubang Pasu, 3-1 pada perlawanan akhir di padang SK Kubang Gajah, Arau, Perlis.
Empat pemain skuad kebangsaan bawah 10 tahun kebangsaan yang membarisi Perlis A itu terdiri daripada penjaga gawang, Charus a/l Charentam, Mohd Alif Aiman Safawi, Mohd Hazwan Hassan dan Mohd Firdauz Khaironisam.
Kejayaan pasukan Perlis A itu menjadi lebih bermakna apabila empat daripada tonggaknya turut terpilih menerima anugerah bagi lima daripada tujuh kategori yang dipertandingkan.
Charus terpilih menerima anugerah bagi kategori penjaga gawang terbaik; Mohd Farhan Aiman Maslisham pula dianugerahkan pemain pertahanan terbaik, manakala Mohd Hazwan (pemain tengah terbaik).
Selain itu, Mohd Hazwan turut terpilih menerima anugerah bagi kategori pemain terbaik kejohanan manakala Mohd Nadzmir Hayazi pula memenangi anugerah kategori pemain terbaik perlawanan akhir.
Dua lagi kategori iaitu penyerang terbaik dan penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol dimenangi Sarif Muhd Nur Adam mewakili pasukan Kenari Kids Kubang Pasu, Jitra yang muncul selaku naib juara.
Perlis A melangkah ke pentas akhir selepas mengenepikan cabaran TLJ Guar Chempedak, Kedah, 3-2 di separuh akhir untuk bertemu Kenari Kids Kubang Pasu yang menewaskan Kenari Kids Langkawi, 5-1.
Pasukan TLJ Guar Chempedak pula memenangi tempat ketiga selepas menewaskan Kenari Kids Langkawi, 4-2 yang menduduki tempat keempat.
Kejohanan sulung di bawah program pembangunan bola sepak negara bawah 10 tahun itu adalah anjuran Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Pelajaran Negeri Perlis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebanyak lapan pasukan menyertainya termasuk dua dari Perlis, Perlis A dan B serta Kenari Kids Kubang Pasu; Kenari Kids Langkawi; Kenari Kids Hicom-Honda, Sungai Petani; My Kids Soccer Perak dan My Kids Soccer Pulau Pinang.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..bola sepak..
:IPK Terengganu Mantap::
| 12:14 | 0 comments
PASUKAN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu muncul juara keseluruhan Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Terengganu 2012 yang diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Terengganu.
Kejohanan selama tiga hari bermula Isnin lalu yang berakhir baru-baru ini membabitkan sembilan pasukan iaitu IPK Terengganu; Unit 6 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta tujuh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu, Kemaman, Marang dan Besut.
Pertandingan akhir kejohanan itu menyaksikan IPK Terengganu menewaskan FRU sekali gus melayakkan mereka muncul juara keseluruhan manakala tempat ketiga dimenangi IPD Kemaman.
Tekong terbaik dianugerahkan kepada Abd Aziz Jaafar dari pasukan FRU manakala anugerah apit kanan terbaik dimenangi Mohd Taufik Yaacob dan apit kiri terbaik dirangkul Mohd Syawal Abdullah, kedua-duanya dari IPK Terengganu.
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil. Turut hadir Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hassan dan Timbalannya, Deputi Superintendan Abdul Marlik Hakim.
Dalam ucapannya, Hamzah berkata, dengan adanya pertandingan seumpama itu dapat merevolusikan sepak takraw di kalangan generasi baru yang tidak mengetahui sejarah sepak takraw itu sendiri.
“Dahulu ia dikenali dengan nama sepak raga, tetapi kini berkembang selaras dengan kemajuan sukan hari ini dan melahirkan ramai pemain yang berpotensi untuk terus memajukan sukan ini ke peringkat antarabangsa.
“Pembabitan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu dalam sukan ini amat memberangsangkan sejak 1994 hingga 2010, di mana daripada sembilan pertandingan PDRM Terengganu memenangi lapan pertandingan sebagai johan berpasukan,” katanya.
Menurutnya, hanya pada 2008, PDRM Terengganu sedikit goyah dengan hanya menyandang naib johan dan berharap pasukan yang ada sekarang dapat menyambung legasi untuk terus menjadi johan.
Katanya, PDRM Terengganu turut menyertai pertandingan sepak takraw pada kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) sebanyak lima kali dan empat kali dinobatkan sebagai johan dan naib johan pada tahun lalu.
“Tabung Kelab Sosial dan Sukan (TKSS) IPK Terengganu memperuntukkan sebanyak RM184,000 untuk memajukan sukan, jadi tiada alasan bagi mana-mana pasukan sukan dalam PDRM Terengganu untuk tidak menggunakan peruntukan berkenaan sebaik mungkin.
“Sepak takraw penting dalam acara sukan yang dipertandingkan dalam PDRM Terengganu. Pada tahun depan, pertandingan ini akan diadakan di Besut yang akan menjadi tuan rumah dan saya berharap pertandingan sampingan lain akan turut diadakan seperti sepak raga dan klinik sepak takraw untuk anak-anak polis bagi melahirkan pelapis baru,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..sepak takraw..
:;STAR, RPS Kekal Juara::
| 12:12 | 0 comments
SEKOLAH Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan Sekolah Raja Perempuan (RPS) Ipoh masing-masing mengekalkan gelaran acara ragbi dan hoki Sekolah-sekolah Premier Perak baru-baru ini.
Dalam acara ragbi yang diadakan di padang sekolah STAR, tuan rumah menumpaskan SMK Anderson 46-7 selepas mendahului 19-7 pada babak pertama.
Dalam perlawanan akhir berat sebelah itu, STAR memperolehi mata daripada lima gol, satu `try’ dan satu penalti berbanding satu gol oleh lawan.
STAR mara ke final selepas membaham King Edward (KE) Taiping 61-7 manakala Anderson mengatasi Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 15 -12. Kehampaan MCKK bagaimanapun terubat apabila dinobatkan tempat ketiga tanpa perlu bertanding apabila KE tidak hadir untuk perlawanan penentuan tempat ketiga itu.
sementara itu, Sekolah St Michael’s Ipoh (SMI) muncul juara kategori Premier selepas menumpaskan Sekolah Iskandar Shah (SIS) Parit, 36-21.
Manakala, RPS membuktikan mereka masih gergasi hoki perempuan sekolah-sekolah Perak apabila membenam Sekolah Raja Perempuan Kelsom (RPK) Kuala Kangsar, 5-0.
Sekolah Main Convent Ipoh menduduki tempat ketiga manakala Sekolah Menengah Perempuan Methodist (MGS) Ipoh keempat.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23
.:Bersukan Kerana Allah:.
Labels: ..artikel.., ..hoki.., ..ragbi..